KLUANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini membuka tirai dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini hari ini.
Bermula 9 pagi, bakal calon daripada parti yang bertanding boleh menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC).
Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.
Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang layak bertanding bagi PRK berkenaan.
Setakat ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada PRK itu.
Manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding hingga 11.59 malam, 27 September ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Mahkota memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 28 September, manakala pengundian awal pada 24 September.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.