KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Malaysia 2024.
Ucapan itu dizahirkan baginda berdua menerusi poster yang dimuat naik melalui Facebook rasmi baginda, hari ini.
Baginda turut mendoakan Malaysia terus dilindungi, diberkati dan dikurniakan kemakmuran yang berkekalan.
“Toleransi dan hormat-menghormati sesama kita tanpa mengira agama dan bangsa menjadi tunjang perpaduan negara selama ini.
“Saya sentiasa menekankan bahawa perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat berbilang kaum adalah hadiah yang paling bermakna buat saya,” titah baginda.
Hari Malaysia yang disambut 16 September setiap tahun diadakan bagi memperingati pembentukan Malaysia.
Tahun ini, sambutan peringkat kebangsaaan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.