PUTRAJAYA: Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024 hari ini.
Beliau merupakan graduan Universiti Malaya (UM), dengan kelulusan Ijazah Sarjana Usuluddin dalam bidang Pemikiran.
Sebelum menerima anugerah berprestij tersebut, Kipli pernah menerima Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (J.S.M) pada tahun 2017 dan Pingat Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) Membawa gelaran Datu pada 2013.
Menerusi ucapannya di dalam video montaj Sambutan Maulidur Rasul, beliau menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga ketika menerima anugerah berkenaan.
“Sesungguhnya, anugerah ini dapat memberi motivasi kepada seluruh kita dalam menyatupadukan masyarakat khususnya di Malaysia.
“Dalam keadaan kepelbagaian itu, ia akan menyebabkan kita berada dalam keadaan aman dan harmoni, serta sentiasa makmur dan maju,” katanya.
Dalam pada itu, acara tersebut turut mengumumkan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul.
Enam penerima anugerah tersebut termasuk Datin Aminah Zakaria, Datuk Ab Jamal Tun Dr Sakara, Datin Paduka Prof. Dr Khatijah Mohamad Yusoff, Prof. Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, Sariah Ibrahim dan Michael Tong Wai Siong.
Anugerah yang diterima oleh kesemua penerima anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kesemua penerima anugerah mendapat hadiah berupa wang tunai sumbangan kerajaan, medal serta sijil penghargaan.
Turut hadir ke sambutan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini disambut dengan tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’.