PETALING JAYA: Nabi Muhammad SAW wajar dijadikan contoh utama dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk kepemimpinan negara, masyarakat dan keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus menjadikan Rasulullah sebagai Uswatun Hasanah, iaitu suri teladan yang baik yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW bagi umat manusia.
“Sewaktu dunia dibadai kemarau mencari contoh dan suri teladan, kita wajar terus menjadikan murabbi terunggul dan teragung umat, iaitu Rasulullah SAW sebagai Uswatun Hasanah,” kata Anwar dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menekankan bahawa keperibadian Nabi Muhammad SAW perlu disorot dengan lebih mendalam, bukan sahaja dalam aspek peribadi, tetapi juga kepemimpinan dalam membina negara bangsa yang harmoni dan adil.
Anwar turut mengaitkan kepemimpinan Nabi Muhammad SAW dengan cita-cita negara Madani yang sedang diusahakan kerajaan.
Menurutnya, model negara bangsa Madinah yang dipelopori oleh Rasulullah adalah satu rujukan penting dalam membina masyarakat yang adil dan berteraskan prinsip ihsan serta kesatuan dalam kepelbagaian.
“Cita-cita negara yang Madani tidak lepas dari mengambil ibrah dan model Piagam Madinah yang dipelopori oleh Baginda.
“Piagam Madinah berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan,” tambahnya.
Beliau turut memetik Surah Al-Ahzab, ayat 21, yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah suri teladan terbaik bagi mereka yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat.
Ia menunjukkan betapa pentingnya umat Islam sentiasa mengingati dan mengamalkan ajaran Baginda dalam kehidupan harian.
Rasulullah SAW sebagai contoh kepimpinan yang agung memberi panduan jelas bahawa keadilan, ihsan, dan kepelbagaian merupakan elemen utama dalam membentuk negara bangsa yang harmoni dan bersatu.