Pendapat | Rakyat Malaysia, belajarlah adat dan budaya semua negeri

“ANANG Malaysia tu baka tebu: Manis ba pun, tabar ba ujong” (Jangan Malaysia ini ibarat tebu: Manis
pada mulanya, pahit pada hujungnya) – Temenggong Tun Jugah Barieng.

Hari Malaysia, saudara-mara saya memperingati legasi tokoh-tokoh Sarawak di kalangan ahli keluarga kami: Temenggong Tun Jugah Barieng, Datuk Stephen Kalong Ningkan, Dunstan Endawie Enchana dan Temenggong Mathew Dana Ujai yang memainkan peranan mereka bermula dari Resolusi Kapit sehingga penubuhan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) yang kemudiannya menubuhkan komponen Perikatan Sarawak demi memastikan perjalanan penubuhan sebuah persekutuan dikenali sebagai “Malaysia’ terjadi dengan megahnya.

Namun, apa yang dirisaukan oleh Tun Jugah telahpun terjadi – hak Sabah dan Sarawak diketepikan,
kemajuan dipinggirkan dan perjuangan oleh tokoh-tokoh terdahulu disisihkan.

Sehingga kini, stereotaip masyarakat Semenanjung terhadap masyarakat Borneo masih kedengaran. Sama ada kanak-kanak, remaja atau dewasa, mereka menyimpan sikap prejudis dan menanam kecetekan ilmu terhadap budaya dan gaya hidup di kepulauan Borneo, seolah-olah masyarakat di sana masih memakai cawat, duduk di atas pokok, bertelanjang, tidak berpendidikan dan yang paling teruk sekali, tiada kemajuan dari segi tamadun mahupun infrastruktur.

Merdeka

Stereotaip sebegini, malangnya, masih kedengaran sehingga hari ini di sekolah, universiti, tempat kerja, rumah ibadat dan media sosial.

Masyarakat Semenanjung lupa tanpa adanya hasil bumi dari Borneo serta kecerdasan politik orang
Sarawak dan Sabah dalam pembangunan Malaysia, pencapaian yang kita banggakan seperti
Petronas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), LRT, Demak (jenama motosikal) dan banyak lagi
tidak akan dilihat di mata umum.

Sarawak dan Sabah kini menerajui kemajuan infrastruktur dan bakal menjadi wilayah-wilayah yang
jauh lebih maju dan matang dari segi teknologi dan sosiobudaya, mengalahkan Kuala Lumpur dan
Selangor.

Ini kerana keinginan masyarakat Sabah dan Sarawak untuk membantu masyarakat Semenanjung menjadi matang dan maju dari segi sosiobudaya dan ekonomi.

Masyarakat Borneo tahu bahawa keutuhan dan kemegahan persekutuan Malaysia harus bermula dengan kerjasama yang berpaksikan keadilan ekonomi dan kesaksamaan masyarakat di antara tiga buah wilayah dalam satu persekutuan.

Tetapi, harus bermula dengan mengenepikan stereotaip terhadap masyarakat Sabah dan Sarawak.

Maka, rakyat Semenanjung, belajarlah adat, budaya, keterbukaan dan kecerdasan pemikiran orang
Sabah dan Sarawak.

Buang yang keruh, ambil yang jernih dan sama-sama kita melihat Malaysia yang majmuk, maju dan sejahtera. Selamat Hari Malaysia yang ke-61!

Oleh,
Ezra Jalin
Ketua Tugas Khas (Hal Ehwal Sabah & Sarawak)
Persatuan DEMI Malaysia

Anda Mungkin Berminat