Taufan Bebinca landa Shanghai, ribut terkuat sejak 1949

SHANGHAI: 25 juta penduduk di sini dinasihatkan untuk kekal di dalam rumah akibat taufan Bebinca yang membadai bandar yang turut disertai hujan lebat dan angin kencang.

Taufan itu melanda kira-kira pukul 7.30 pagi waktu tempatan pada Isnin di kawasan pesisir Lingang New City di Timur Shanghai, menurut Pentadbiran Meteorologi China.

Dengan kelajuan angin sehingga 151 kilometer sejam (km/j) (94 batu sejam), Bebinca adalah ribut terkuat yang melanda bandar itu sejak taufan Gloria pada tahun 1949, lapor Global Times.

Dalam pada itu, penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan dan lebuh raya ditutup. Had kelajuan 40km/j (25mph) turut dikenakan di jalan raya di dalam bandar.

Menurut pihak berkuasa, amaran merah telah dikeluarkan dan kira-kira 9,000 orang dipindahkan dari daerah Chongming, sebuah pulau di muara Sungai Yangtze.

Pihak berkuasa tempatan turut mengarahkan semua kapal untuk kembali ke pelabuhan untuk mengelak berada di kawasan laut.

CCTV yang menyiarkan rakaman seorang wartawan di pantai di wilayah Zhejiang turut menunjukkan gelombang memukul pantai.

“Jika saya melangkah keluar ke (kawasan ribut), saya hampir tidak boleh bercakap.

“Anda dapat melihat bahawa permukaan laut berombak-ombak, masing-masing lebih tinggi daripada yang terakhir,” kata wartawan itu.

Kawasan Shanghai merupakan bandar yang paling jarang dilanda ribut taufan yang kuat kerana bencana tersebut sering melanda kawasan selatan China.

Minggu lalu, wilayah Hainan selatan Vietnam turut dilanda ribut Yagi, yang merupakan ribut Kategori 4 yang merosakkan bandar berkenaan.

Anda Mungkin Berminat