AMLA: Lebih RM581,000 aset GISB dibeku

PETALING JAYA: Lebih RM581,000 aset Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi 96 akaun dibeku oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak berkenaan juga telah mengeluarkan arahan untuk menyita lapan buah kenderaan syarikat berkenaan.

“Kita bekukan lebih kurang RM581,552.31 di Bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 dan sebanyak empat akaun telah ditutup,” katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) pada Selasa.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan GISBH memperoleh pendapatan lebih RM2 juta setiap bulan.

Tambah Razarudin, hala tuju Op Global setakat ini adalah menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.