Anwar beri jaminan jayakan MA63

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama-sama pimpinan Kerajaan MADANI.

Beliau yang mewakili Kerajaan Persekutuan bertekad untuk terus mengangkat darjat semua negeri terutama kawasan pedalaman, terpencil dan miskin bandar.

“Saya turut memberi jaminan akan bertungkus-lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

“Saya percaya dengan permuafakatan serta musyawarah yang wujud antara Persekutuan dengan setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak, perkara ini mampu direalisasikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Sabah serta para petugas yang tidak berganjak walau hujan lebat membasahi Padang Merdeka yang menjadi lokasi sambutan Hari Malaysia 2024.

“Semangat Jiwa Merdeka seperti ini harus sentiasa disemat utuh oleh semua dalam membangun Malaysia selain menjauhi sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain,” katanya.

Pada Sambutan Hari Malaysia 2024 yang diadakan di Padang Merdeka, Sabah ianya telah dibanjiri lebih 40,000 rakyat pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara bertuah ini.

Anda Mungkin Berminat