KKM sahkan 1 kes Mpox

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang lelaki positif cacar monyet (mpox) clade II, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, individu tersebut merupakan warganegara Malaysia yang tiada sebarang sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum timbul gejala-gejala kecil.

“Pada 11 September lalu, individu pada awalnya menunjukkan gejala kecil seperti demam, sakit tekak dan batuk manakala keesokkan harini timbul ruam-ruam kecil.

“Namun kini, individu tersebut sedang berada dalam isolasi dan masih keadaan stabil. Kontak rapat bagi pesakit juga sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka turut akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) yang ketat,” jelas kenyataan tersebut.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh pihak KKM, terdapat 10 kes yang dilaporkan di Malaysia sejak 26 Julai 2023.

KKM menasihati orang ramai untuk memainkan peranan penting dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri bagi mengelakkan penyakit ini terus tersebar luas.

“Setiap individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti mpox sewajarnya mengelakkan diri dari melakukan sebarang sentuhan secara langsung dengan mana-mana individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual.

“Mengamal kawalan kesihatan kendiri juga perlulah dilakukan seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitiser).

“Manakala, individu yang memiliki gejala-gejala mpox seperti demam, bengkak, kelenjar limfa dan ruam/lepuh perlulah segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat