Oleh: Dr Anuar Ahmad
Saya menolak dan tidak bersetuju dengan amalan anak-anak yang baru masuk sekolah di tahun satu mesti kuasai 3M.
Pada saya, sekolah tahap satu (tahun 1-3) adalah waktu-waktunya untuk anak-anak kita mula kuasai 3M. Inilah juga yang disarankan di dalam dokumen rasmi KSSR.
Tapi apa boleh buat, sebab ada pihak yang menguruskan sistem pendidikan negara kita memang suka kepada budaya ‘ekspres’. Mereka sendiri tidak menghayati fokus KSSR.
Sampaikan murid yang baru tiga bulan masuk tahun satu pun dah terpaksa masuk kelas pemulihan/Intervensi 3M.
Mengapa murid tahun satu perlu intervensi 3M? Mengapa kita begitu tergesa-gesa? Mengapa kita tidak mahu anak-anak belajar 3M dengan gembira mengikut keupayaan masing-masing?
Tapi apa boleh buat, itulah arus minda penguasa pendidikan negara kita. ‘Lebih cepat, lebih baik’.
Saya tak mahu menentang arus. Kalau nak buat intervensi 3M juga seawal tahun satu, buatlah. Nak amalkan budaya ‘ekspres’ dalam pendidikan? Silakanlah.
Kita mungkin tak nampak kesannya dalam masa terdekat, tapi ‘ketergesaaan 3M’ ini pasti akan menunjukkan natijahnya pada masa depan.
Misalnya, kita akan lihat nanti bagaimana pengaruh ‘ketergesaaan 3M’ terhadap cara anak-anak menghargai buku dan tabiat membaca mereka. Begitu juga dengan minat dan kecenderungan anak-anak yang ‘tergesa gesa’ untuk menguasai numerasi terhadap minat dan sikap mereka pada ilmu Matematik.
Jadi, nasihat saya pada ibu bapa, sebab kita tak ada banyak pilihan dan kita mesti juga hantar anak-anak ke sekolah, kalau tak mahu anak-anak anda ketinggalan dan terpaksa masuk kelas pemulihan /intervensi 3M di tahun satu nanti, maka pastikan anak-anak anda kuasai 3M sebelum masuk tahun satu.
Pada penguasa pendidikan negara pula, nasihat saya wajibkanlah pra sekolah. Alang-alang mahu anak-anak kuasai 3M sebelum tahun satu, wajibkan sahaja pra sekolah. Bukankah ‘lebih cepat, lebih baik?’
Dengan cara ini, tentu sebahagian dari kita yang suka melihat anak-anak ‘tergesa gesa’ belajar 3M sejak pra sekolah akan puas hati dan rasa gembira.
**Penulis adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara