UPSR perlu dikembalikan – Asyraf

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Rata-rata dalam kalangan masyarakat berpendapat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dikembalikan semula bagi menilai pencapaian murid di peringkat sekolah rendah.

Malah, senada dengan pendapat itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga bersetuju jika UPSR dikembalikan untuk mengukur keupayaan murid sebelum ke peringkat selanjutnya.

Kata Asyraf, wujud keperluan sistem penilaian berpusat membabitkan murid sekolah rendah.

“Saya amat setuju untuk peperiksaan UPSR dikembalikan. Perlu ada sistem penilaian berpusat dan terselaras agar dapat mengukur keupayaan sebenar pelajar sebelum ke peringkat menengah,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi Darjah 6 di sekolah rendah dan Tingkatan 3 di sekolah menengah disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak tahu membaca, menulis dan mengira.

Peperiksaan tersebut dianggap sebagai pengukur kepada tahap peningkatan pendidikan pelajar-pelajar sebelum mereka menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memilih bidang pengajian di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT).

Menjengah di ruangan komen Asyraf, ada yang berkata apabila peperiksaan diadakan, pelajar mempunyai matlamat dan fokus mengejar kecemerlangan dalam pelajaran.

Nada sama juga disokong oleh Abdel Rahmanov yang mengakui sukar untuk menilai pelajar masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Prestasi pelajar menurun, tidak macam generasi senior,” katanya.

Sunarty Sanaudi yang juga bersetuju berkata, salah satu punca tingkatan 1 masih belum menguasai 3M (membaca, mengira, menulis) disebabkan ketiadaan UPSR.

UPSR dan PT3 dimansuhkan sepenuhnya mulai 2022 sebelum digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara menyeluruh.