PUTRAJAYA: Seorang ahli perniagaan yang juga anggota kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita yang juga bekas anggota organisasi berkenaan.
Tertuduh, Mohamad Riza Makar, 39, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
Menurut pertuduhan, Mohamad Riza didakwa mengugut wanita berusia 25 tahun di kawasan letak kereta Galeria, Presint 4, kira-kira jam 10 malam, 9 September lalu.
Tertuduh dikatakan mengancam dengan kata-kata, “kami tahu dekat mana rumah suami dan keluarga,” bertujuan menakutkan wanita tersebut supaya menarik balik laporan polis yang dibuatnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, mencadangkan jaminan RM30,000 bersama dua penjamin serta meminta agar tertuduh tidak menganggu mangsa sepanjang prosiding.
Namun, peguam bela tertuduh, Zulfikri Ulul Azmin, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana menganggap kes ini ringan serta tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan.
“Tertuduh baru sahaja menyambut kelahiran anak kurang dari sebulan yang lalu, dan proses pendaftaran bayi itu masih belum diselesaikan,” katanya.
Mohamad Riza turut merayu agar mahkamah mempertimbangkan situasinya sebagai bapa kepada 10 anak.
“Saya perlu menghadapi musim cuti sekolah sekarang, dengan banyak persiapan diperlukan, termasuk aktiviti dan kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya kepada mahkamah.
Majistret Ahmad Afiq Hasan akhirnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Oktober.