Kader Jakim bantu agensi tingkat syiar Islam

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah bertemu Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) pada hari ini.

Ago Dagang berkata, perjumpaan tersebut bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di jabatan kerajaan dan kementerian.

“Dalam perjumpaan ini juga telah diterangkan dan dijelaskan berhubung peranan yang dimainkan oleh KADER JAKIM.

“Ini jelas bahawa peranan KADER JAKIM di Kementerian atau Jabatan adalah hanya tertumpu kepada hal ehwal Islam serta tidak berperanan dalam perihal penggubalan dasar atau hala tuju di Kementerian atau Jabatan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).

Jelasnya, setiap individu tanpa mengira latar belakang agama, budaya atau kepercayaan harus memainkan peranan aktif dalam memastikan masyarakat Malaysia berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

“Kita perlu memahami bahawa setiap agama mempunyai nilai-nilai dan ajaran yang luhur.

“Menghormati sensitiviti pelbagai agama bukan sahaja mencerminkan sifat kebersamaan kita, tetapi juga memperkukuh rasa saling menghormati dan memahami,” ujarnya.

Dalam pada itu, pertemuan tersebut telah menemui kata sepakat antara semua wakil atau pemimpin agama Islam dan selain Islam berhubung polemik penempatan pegawai JAKIM.

Aro Dagang turut menyeru kesemua pemimpin agama bersetuju supaya memanfaatkan Biro Pengurusan Isu dan Mediasi dalam mencari solusi kepada isu, permasalahan atau polemik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat