Parlimen Georgia luluskan RUU batasi hak LGBTQ

Oleh: Haikal Tajuddin

GEORGIA: Parlimen negeri ini telah meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu untuk mengenakan sekatan besar ke atas hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Ahli Parlimen Georgia, Mamuka Mdinaradze berkata rang undang-undang itu akan menjadi asas kepada pihak berkuasa dalam melarang acara berkaitan perarakan (Pride) serta memaparkan secara terbuka bendera pelangi LGBT.

Selain itu, Mdinaradze yang juga pemimpin parti politik, Georgia Dream berkata undang-undang membolehkan Kerajaan mengenakan tapisan filem atau buku yang berkait rapat dengan komuniti tersebut.

“Hak LGBTQ adalah topik yang sensitif di Georgia. Tinjauan menunjukkan tidak setuju yang meluas terhadap hubungan sejenis dan perlembagaan melarang perkahwinan sejenis.

“Disebabkan itu, undang-undang sangat diperlukan untuk melindungi standard moral di Georgia sejajar dengan amalan gereja Ortodoks yang memiliki pengaruh yang besar,” jelasnya, memetik Al Jazeera pada Rabu.

Katanya, rang undang-undang itu sudah pun diterima oleh kerajaan pada Selasa, namun dikritik oleh presiden Georgia, Salome Zourabichvili.

Namun begitu, Georgia Dream dan sekutunya mempunyai kerusi yang cukup untuk menolak veto beliau.

Awal tahun lalu, Georgia Dream telah meluluskan undang-undang mengenai agensi asing sehingga dikritik oleh Eropah dan Amerika Syarikat lalu menimbulkan protes terbesar.

Beberapa tahun lalu, peserta dalam perarakan Pride tahunan di Tbilisi telah menjadi mangsa serangan fizikal oleh penunjuk perasaan anti-LGBTQ sehingga undang-undang ini ditubuhkan.

Anda Mungkin Berminat