‘Penguin busuk’ menang Bird of The Year New Zealand

Oleh: Shafira Aziz

AUCKLAND: Spesies penguin bermata kuning dinamakan hoiho telah dinobatkan sebagai ‘Bird of the Year 2024’ di negara itu.

Burung tersebut memperoleh 6,328 undi dan ia kemenangan kedua dalam pertandingan tahunan popular tersebut.

Kemenangan pertama burung berkenaan sebelum ini pada tahun 2019.

Hoiho merupakan spesies penguin yang paling jarang ditemui di dunia, berjaya mengatasi pemenang tempat kedua, Black Robin yang turut memperoleh sokongan signifikan daripada orang ramai.

Burung tersebut juga terkenal dengan tingkah laku sukar difahami dan mempunyai bau semula jadi yang sangat kuat.

Spesies burung yang berasal dari New Zealand tersebut dianggarkan mempunyai populasi antara 4,000 hingga 5,000 di negara berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Forest and Bird, Nicola Toki berkata spesies itu berada dalam keadaan yang kritikal.

“Kami telah kehilangan 78 peratus spesies burung berkenaan hanya dalam masa 15 tahun atas faktor pemangsa dan perubahan iklim,” katanya, lapor Reuters pada Rabu.

Secara keseluruhan, pertandingan tersebut memperoleh sebanyak 52,500 undi, mencerminkan hubungan mendalam warga New Zealand dengan burung asli mereka.

Untuk rekod, New Zealand merupakan ‘rumah’ kepada kebanyakan spesies burung di dunia berbanding negara lain, termasuk burung jenis takahe dan kiwi.

Anda Mungkin Berminat