Khairul Aming terima surat penghargaan PM New Zealand

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pempengaruh terkenal, Khairul Aming, baru sahaja menerima surat rasmi daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon sebagai tanda penghargaan kerana melakukan kandungan menarik sewaktu dia berada di New Zealand, awal bulan lalu.

Perkara ini diketahui apabila pempengaruh terkenal itu membuat perkongsian berkenaan surat penghargaan tersebut menerusi akaun X, dengan harapan dapat meneruskan kerjayanya sebagai pencipta kandungan yang dapat menaikkan nama Malaysia.

“Saya baru sahaja menerima surat penghargaan rasmi daripada Perdana Menteri New Zealand di Wellington.

“Doakan kami supaya dapat terus melakukan kandungan yang dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya.

Menerusi surat tersebut, Luxon menzahirkan perasaan teruja apabila menonton coretan video-video yang disampaikan daripadanya.

“Alangkah seronoknya bertemu dengan Khairul Aming. Saya mengucapkan terima kasih kerana menyediakan sarapan tempatan semasa saya datang ke Malaysia.

“Ia memberi inspirasi kepada saya untuk mengetahui kisah anda daripada permulaan kecil membuat video memasak semasa COVID-19 sehingga ke perniagaan sambal anda yang banyak mendapat permintaan pada hari ini,” jelas PM New Zealand.

Warganet juga tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan ucapan tahniah kepada Khairul Aming ke atas penghormatan yang diterima itu.

“Wah, tahniah! Ini pencapaian yang sangat membanggakan. Semoga terus berjaya dan harumkan nama Malaysia di pentas dunia,” komen abeehatweets_.

“Ini barulah pempengaruh yang sebenar! Tahniah Khairul Aming,” komen aminghul.

Sebagai info, pengusaha sambal Nyet, Khairul Aming, telah menerima kunjungan Luxon bersempena dengan lawatan pemimpin ke Malaysia, 3 September lalu.

Menerusi perkongsian di aplikasi Instagram, Khairul Aming memaklumkan bahawa pertemuan itu merupakan satu bentuk penghargaan daripada New Zealand selepas dirinya banyak menghasilkan video memasak di negara tersebut sebelum ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat