MBM terima baik cadangan rombakan sistem pendidikan negara

PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) sambut baik cadangan rombakan secara bersepadu terhadap sistem pendidikan negara.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi berkata sokongan harus diberikan kepada jentera Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap usaha reformasi sistem pendidikan negara.

“Reformasi sistem pendidikan negara harus menekankan soal nilai teras pendidikan dan bukannya pada pentaksiran semata-mata.

“Hal ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan holistik dapat dicapai,” katanya menerusi Facebook pada Khamis.

Jelasnya lagi, MBM yakin perubahan terhadap sistem pendidikan negara akan berlaku secara sistematik.

“Dengan pewujudan enam pasukan khas bagi memperkasakan pendidikan negara, penggubalan pelan dan kurikulum pastinya beri impak positif kepada pendidikan.

“MBM bersedia untuk bekerjasama bagi memastikan usaha reformasi dapat dilaksanakan secara cermat dan berhemah,” katanya.

Baru-baru ini, timbul isu peperiksaan UPSR dan PT3 wajar diadakan kembali bagi memperkasakan murid-murid. Hal ini susulan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan disambut baik oleh banyak pihak.

Anda Mungkin Berminat