PETALING JAYA: Peperiksaan berpusat bukanlah keutamaan sekolah-sekolah di negara maju, sebaliknya mereka fokus kemenjadian murid itu sendiri menerusi kaedah pembelajaran menyeronokkan.
Pensyarah Universiti UCSI, Dr Othman Talib berkata High State Examination (HSE) seperti UPSR dan PMR hanya akan membuka pintu pengasingan kepada murid ‘cerdik’ untuk mendapat tawaran di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
“Dalam erti kata lain, murid yang kurang pencapaian ‘A’s akan terlepas pelbagai peluang seawal tahun 6.
“Sebab itulah, HSE bukan amalan dan matlamat pendidikan di negara maju,” katanya dalam catatan di Facebook pada Khamis.
Jelasnya lagi, negara maju seperti Finland, United Kingdom, Australia dan Jepun tidak mengamalkan HSE kerana murid pada peringkat awal persekolahan masih dalam proses membangunkan potensi diri.
“Jika di negara maju, HSE bukan dalam sistem persekolahan, tetapi di Malaysia, ibu bapa meletakkan hala tuju pendidikan anak mereka bermula di sekolah rendah untuk mendapat sebanyak mungkin As.
“Keputusan dalam UPSR misalnya seperti satu ‘hukuman’ kepada yang tidak berjaya dengan cemerlang dan puji-pujian menanti serta kemegahan bagi yang berjaya cemerlang dengan pelbagai anugerah serta tawaran.
“… meletakkan keutamaan kepada pembangunan emosi, mental, jasmani, ‘well-being’ melalui ‘fun learning’ dan ‘exploration’.
“Kita disini terus gilakan anugerah, ranking, macam-macam majlis.. pentas-pentasan dan jemput-jemputan untuk tunjukkan ‘kejayaan’. Ini mentaliti kelas ketiga dalam membina pendidikan asas anak-anak dan tidak wajar menjadi budaya, apatah lagi hala tuju,” katanya.
Dr Othman yang juga pakar pendidikan berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertanggungjawab menyelesaikan perkara ini namun mengambil sikap berlepas tangan.
“Kegagalan KPM sendiri menyediakan pemahaman, persekitaran dan sokongan kepada pembelajaran murid menjadikan pelbagai pihak mendambakan HSE seperti UPSR dan PT3. Malah dalam banyak hal, KPM sendiri yang lebih kemaruk untuk membanding-bandingkan sekolah dan memberi anugerah berdasarkan HSE ini,” katanya.
Justeru, tambahnya KPM perlu membetulkan isu akar umbi seperti 3M, keciciran, silibus padat terlebih dahulu sebelum bercerita mengenai kepentingan UPSR dan PT3.