PBB lulus usul tamatkan pendudukan tidak sah Israel di Palestin

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara majoriti meluluskan ketetapan yang menggesa penamatan pendudukan ‘tidak sah’ Israel dalam tempoh 12 bulan.

Ketetapan yang diusulkan oleh Palestin itu diluluskan dengan sokongan majoriti, dengan 124 negara anggota mengundi menyokong, 14 menentang dan 43 berkecuali.

Ia turut disokong oleh Turki serta lebih 50 negara anggota lain, yang menuntut pendudukan Israel di Wilayah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC), lapor Agensi Anadolu.

Penempatan Israel juga melanggar undang-undang antarabangsa, dengan ketetapan itu turut menegaskan bahawa rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentukan nasib mereka sendiri di bawah Piagam PBB.

Ketetapan itu menegaskan bahawa isu Palestin adalah ‘tanggungjawab kekal PBB’ sehingga ia diselesaikan selaras dengan undang-undang antarabangsa sekali gus menekankan keperluan segera untuk Israel menamatkan pendudukan yang bermula pada 1967.

Ketetapan berkenaan seterusnya menyeru Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk membentangkan laporan mengenai pelaksanaan ketetapan tersebut dalam tempoh tiga bulan selepas ia diluluskan.

Anda Mungkin Berminat