Oleh: Shafira Aziz
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi arahan tegas kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyediakan pelan perancangan strategik dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi menjamin peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya.
Langkah tersebut perlu diambil selepas kerajaan bersetuju memperuntukkan RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, termasuk skuad bawah 23 tahun.
Namun, peruntukan tersebut tidak hanya diberikan tanpa pemantauan, sebaliknya ia akan dipantau secara berkala oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam usaha memperkukuhkan lagi ekosistem bola sepak kebangsaan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mendapatkan bantuan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menilai semula keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP).
“KBS akan melakukan ‘review’ terhadap NFDP bagi memastikan program ini terus relevan dan membawa hasil yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menariknya, peruntukan besar yang disalurkan kepada Harimau Malaya ini tidak akan menjejaskan dana sukan lain di negara ini.
Anwar menegaskan bahawa sukan-sukan lain akan terus mendapat sokongan penuh daripada kerajaan.
Langkah tersebut menunjukkan kesungguhan dalam membina sukan bola sepak negara, sambil memberi jaminan bahawa sukan-sukan lain turut menerima perhatian.
Dengan pelan yang kukuh dan pemantauan rapi, prestasi Harimau Malaya diharapkan akan terus meningkat di peringkat antarabangsa.