Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Fasa Peralihan Monsun bakal melanda Malaysia bermula 24 September hingga awal November tahun ini.
Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia berkata peralihan monsun ini sebagai penanda berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 17 Mei baru-baru ini.
“Semasa fasa Peralihan Monsun ini, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Perkara ini akan menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat iaitu pada waktu petang dan malam.
“Kawasan-kawasan yang berada di barat dan pedalaman semenanjung berpotensi besar untuk menghadapi peralihan monsun itu.
“Di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak, berpotensi menerima keadaan cuaca ini, menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” jelasnya pada Jumaat.
Justeru, MET Malaysia menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh peralihan cuaca itu dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Orang ramai hanya perlu melayari laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.
“Sekiranya memiliki pertanyaan lanjut, masyarakat boleh terus menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638,” jelasnya.