Oleh: Shafira Aziz
BUKIT JALIL: Acara Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat yang diadakan pada Jumaat mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai dengan kehadiran pengunjung seramai 10,000 orang.
Ia menunjukkan betapa kuatnya semangat reformasi dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap himpunan yang diadakan di Axiata Arena itu.
Seawal jam 6 petang, pengunjung mula memenuhi kawasan acara, menunggu dengan penuh sabar untuk menyaksikan rangkaian program yang disusun rapi.
Dari solat Maghrib hingga persembahan lagu-lagu patriotik, setiap detik acara tersebut dipenuhi dengan emosi dan semangat perjuangan.
Himpunan tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil serta ramai lagi figura terkenal yang turut menyambut perjuangan reformasi ini.
Untuk rekod, himpunan tersebut diadakan bagi memperingati hari dimana Anwar ditangkap selepas mengadakan demonstrasi di Masjid Negara, Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.
Beliau ditahan di kediamannya di Bukit Damansara dan dipukul di lokap polis, yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat menuju Pilihan Raya Umum 1999.