PUCHONG: Penyertaan rombongan 68 penjawat awam untuk menghadiri pameran kecil di Berlin telah dibatal, meskipun tiket penerbangan dan hotel penginapan sudah disediakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat berikutan pelanggaran semangat reformasi yang sedang dilakukan Kerajaan Perpaduan malah perkara tersebut tidak dibentangkan ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Reformasi dalam jabatan kerajaan, syarikat-syarikat kerajaan dan agensi-agensi, mesti berterusan. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu, kita mengambil keputusan tegas untuk semua syarikat dan agensi kerajaan.
“Ini kerana ada keterlanjuran, ada pesta atau pameran di Berlin, (walaupun) kecil, tapi saya lihat kepada kakitangan kementerian dan agensi-agensi berkenaan, seramai 68 orang yang mendaftar untuk pergi.
“Sebahagian kecil mungkin terlibat dan diperlukan, jadi saya ambil satu keputusan yang tegas membatalkan seluruh lawatan itu walaupun tiket penerbangan dan hotel telah disediakan,” katanya setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bahawa semua projek baharu mahupun lawatan ke luar negara perlu dirujuk kepada Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah (KP) dan diluluskan oleh menteri berkenaan supaya ada yang akhirnya bertanggungjawab secara langsung.
“Ini sebagai mesej yang jelas, kita bercakap soal reformasi, menteri-menteri untuk melawat mesti bentang kertas kepada jemaah menteri dan selalunya kita perlu buat potongan apakah perlu dua staf, atau tiga staf.
“Kalau tidak perlu diminta tangguh dan boleh disekalikan dengan lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di mana MoU ditandatangani sekali untuk menjimatkan belanja,” jelasnya.
Jelasnya, walaupun pentadbiran beliau memberikan mesej yang jelas mengenai usaha itu, namun masih berlaku pelanggaran peraturan dan semangat reformasi.
“Semalam saya ada pertemuan dengan KSN, KPPA dan semua KSU kementerian untuk menyatakan ketegasan kita dan meminta kerjasama mereka.
“Majoriti penjawat awam terutama di peringkat tinggi memahami dan menyokong, tetapi pelanggaran ini tidak boleh diizinkan,” katanya lagi.