Ulasan | UPSR, PT3 adalah keputusan Kerajaan, tapi …

Oleh: Dr Anuar Ahmad

Keputusan sama ada untuk kembalikan UPSR-PT3 atau sebaliknya adalah keputusan kerajaan. Kita mestilah menghormati keputusan tersebut.

Sebagai rakyat yang sayangkan sistem pendidikan, menjadi tanggungjawab kita untuk terus memberikan pandangan yang baik dan bertanggungjawab. Berbeza pandangan bukanlah sesuatu yang buruk. Malah sebenarnya itu adalah sesuatu yang sihat di dalam sebuah negara yang bebas dan demokrasi.

Malah orang yang menolak budaya berbeza pandangan dan tidak bersedia berhujah adalah kalangan orang yang penakut, jahil dan angkuh. Di mata Prof Syed Hussein Al Attas, mereka yang tidak mahu berfikir dan tidak boleh mengawal emosi apabila berbeza pandangan disebut oleh beliau di dalam karyanya yang bertajuk ‘Cita Sempurna Warisan Sejarah’ sebagai manusia JADONG. (Jahat, Bodoh dan Sombong)

PBD lebih kompleks

Sejak beberapa hari yang lalu, saya telah pun memberikan beberapa alasan/hujah berdasarkan fakta dan data yang ada pada saya mengapa saya menyokong supaya kembalikan UPSR-PT3.

Tentulah hujah yang paling utama ialah ekosistem PBD masih tidak bersedia, dan jika kita teruskan juga melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), tahap keberkesanan PBD adalah lemah dan akan sentiasa dipertikaikan oleh sebahagian besar ibu bapa dan guru-guru. Jika PBD terbukti berkesan, tentunya kita tidak perlu pada UPSR -PT3.

Apakah hujah lain yang ‘mengikat’ saya untuk kekal menyokong supaya dikembalikan UPSR-PT3? Saya kongsikan hujah tersebut.

Saya ada perbincangan secara dalam talian dengan sekumpulan bekas pelajar sarjana pendidikan saya yang telah kembali berkhidmat di sekolah. Memang menjadi amalan saya untuk terus berhubung dengan bekas-bekas pelajar saya untuk kami berbincang dan berkongsi pandangan tentang isu-isu semasa pendidikan negara.

Salah satu fokus perbincangan kami tadi ialah apakah kesan pelaksanaan PBD kepada murid miskin? Berbagai pandangan diberikan oleh bekas pelajar saya.

Saya rumuskan – Kami sebulat suara bersetuju bahawa PBD adalah satu pentaksiran yang lebih kompleks dan sofistikated berbanding UPSR dan PT3. Keberkesanan pelaksanaan PBD sangat bergantung kepada sejauh mana kerjasama ibu bapa di rumah. Itu asasnya.

Prestasi pendidikan

Bagi murid dari keluarga kaya atau ibu bapa mereka mempunyai latar pendidikan yang tinggi, kajian sosiologi pendidikan mengesahkan ibu bapa lebih cenderung memberikan perhatian kepada prestasi pendidikan anak-anak mereka.

Memang tidak dinafikan bahawa faktor ekonomi dan latar pendidikan ibu bapa sangat kuat mempengaruhi pencapaian pendidikan anak-anak. Bacalah berbagai teori berkaitan, misalnya ‘Ecological Systems Theory dan lain-lain, nanti anda akan lebih faham betapa kuatnya hubungan antara faktor keluarga dan pencapaian pendidikan.

Situasi: Apabila PBD dilaksanakan di dalam kelas yang ramai murid, biasanya guru-guru tidak mampu memastikan semua murid dibimbing pada setiap masa. Bayangkan jika ada 45 murid dalam sebuah kelas, seorang guru perlu memerhatikan dan juga mengajar (perkataan yang tepat ialah mengejar) silibus yang padat. Maka tidak semua murid mendapat bimbingan berterusan dari guru.

Bagi murid yang datang dari keluarga kaya atau ibu bapa yang berpendidikan tinggi, mereka akan terus mendapatkan bimbingan pembelajaran di rumah. Ibu bapa mereka akan memastikan prestasi akademik mereka sentiasa dalam keadaan baik. Walaupun tidak semua ibu bapa begitu, kajian pendidikan mengesahkan bahawa ibu bapa yang berpendidikan dan ekonomi yang kukuh lebih cenderung memantau pembelajaran anak-anak mereka secara dekat.

Berbeza dengan murid-murid dari keluarga sangat miskin atau ibu bapa tidak mempunyai latar pelajaran yang tinggi. Murid-murid ini biasanya tidak akan dipantau secara rapat oleh ibu bapa, malah ibu bapa juga tidak dapat membantu pembelajaran anak-anak mereka kerana mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam topik yang dipelajari oleh anak-anak mereka.

Oleh kerana sistem pengredan PBD, penyataan rubrik yang kompleks (sebab itu PBD terpaksa ‘dimesrakan’ untuk ibu bapa), pada kebiasaannya murid -murid dari keluarga miskin dan ibu bapa yang tiada pelajaran tidak mendapat sokongan pembelajaran di rumah. Mereka hanya bergantung pada guru-guru di sekolah. Malangnya, di sekolah pula guru-guru terpaksa berhadapan dengan bilangan murid yang terlalu ramai di dalam kelas.

Pelajar keluarga miskin

Keciciran pembelajaran berpotensi akan terjadi pada murid dari keluarga miskin atau ibu bapa mereka yang tidak mempunyai pendidikan.

Saya tidak menafikan jika kita amalkan UPSR dan PT3 sekali pun, keciciran pembelajaran boleh juga berlaku. Tetapi kefahaman ibu bapa tentang sistem gred markah, kesedaran mereka bahawa anak-anak mereka akan mengambil UPSR biasanya akan memotivasikan ibu bapa untuk memberikan sedikit sebanyak perhatian pada pelajaran anak-anak. Sekurang-kurangnya mereka akan marah atau berleter jika anak-anak mereka ponteng sekolah.

Mereka akan mempunyai rasa bimbang jika anak-anak mereka akan gagal dalam UPSR atau PT3. Tetapi dengan amalan PBD, anda yakin ibu bapa dari keluarga yang sangat miskin akan ambil kisah kalau anak-anak mereka tidak belajar atau ponteng sekolah? Perkongsian bekas pelajar saya yang sedang berkhidmat sebagai guru mengesahkan pada saya bahawa ibu bapa dari kumpulan keluarga miskin memang kurang memberi perhatian pada pelajaran anak-anak mereka.

Malah perkongsian dari beberapa bekas pelajar saya tentang isu ponteng dalam kalangan murid-murid miskin di sekolah mereka sangat-sangat membimbangkan saya.

Soal saya pada mereka, “kalau murid selalu ponteng, maksudnya tak adalah gred TP?” Mereka tidak menjawab soalan saya, sekadar tersenyum sahaja. Saya pula sekadar mengangguk, tandanya ‘saya faham’.

**Penulis adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara 

Anda Mungkin Berminat