Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli menyarankan mana-mana pembangkang yang tidak berpuas hati agar membawa usul terus ke Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian susulan luahan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang tidak berpuas hati dengan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap segelintir pemimpin pembangkang yang berlebihan dalam berpolitik.
“Beberapa jam ucapan itu dibuat, YB Fadhli Shaari terus mengeluarkan ketidakpuasan hati dengan kenyataan yang disampaikan oleh Anwar.
“Jika ada hasrat untuk mendesak PMX melepaskan jawatan, sila bawa ke Dewan Rakyat, bukan hanya di Dewan Pemuda atau Sidang Muktamar.
“Tiada siapa yang berselindung di sebalik sebarang keterikatan yang menjerat seperti yang cuba digambarkan YB Fadhli.
“Jika masih tidak yakin dan perlu ulang tayang, sila usulkan semula di Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Tambah Adam lagi, kawasan yang diwakili Fadhli iaitu Parlimen Pasir Mas, Kelantan antara yang menerima peruntukan sihat menerusi inisiatif Belanjawan tahun ini, malahan tindakan Anwar yang tidak melantik penyelaras politik di kawasan-kawasan Parlimen diwakili Pembangkang juga harus diberi pujian.
Namun begitu, ujarnya pihak kerajaan masih terbuka hati untuk terus menghulurkan bantuan kepada pihak pembangkang dari masa ke masa.
“Walaupun tangan terus dihulur tanda kesediaan untuk menjalinkan kerjasama, sayangnya sering ditepis dengan kasar oleh mereka (pembangkang) yang tidak mahu bergerak ke hadapan.
“Perjanjian Persefahaman yang ditawarkan pun terus ditolak mentah-mentah oleh pimpinan utama Pembangkang tanpa timbang tara lanjut,” jelasnya.
Terdahulu, Fadhli mengkritik ucapan Anwar yang meminta pembangkang membawa usul tidak percaya ke Parlimen. Menurutnya, perkara itu boleh dipertimbangkan namun mereka tidak mempercayai Speaker Dewan Rakyat akan melayan permintaan pembangkang.