China import semula produk akuatik Jepun dengan syarat ketat

BEIJING: China kembali mengimport semula makanan laut dari Jepun selepas larangan import Ogos lalu.

Hal ini susulan Jepun berjanji patuh undang-undang antarabangsa selepas mereka merancang pelepasan air sisa radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke lautan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar China, pengimportan semula produk akuatik Jepun itu disesuaikan dengan langkah-langkah saintifik yang memenuhi keperluan dan piawaian.

“Beberapa pusingan rundingan membincangkan mengenai pelepasan air dari loji nuklear Fukushima-Daiichi itu.

“Tokyo berusaha untuk elak meninggalkan kesan negatif ke atas kesihatan manusia dan alam sekitar dengan penilaian berterusan terhadap laut dan ekosistem marin,” katanya.

Dalam pada itu, Tokyo mengalu-alukan penubuhan pemantauan antarabangsa dalam rangka kerja Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam pelepasan air tercemar nuklear.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berdialog yang membina berdasarkan sains dengan tanggungjawab besar terhadap ekosistem, alam sekitar, dan kehidupan serta kesihatan manusia.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata Tokyo sedia menjalankan pemantauan tambahan terhadap air yang dirawat, sementara China telah memutuskan untuk secara beransur-ansur memulihkan import produk perikanan Jepun yang memenuhi piawaian tertentu.

Pada akhir Ogos 2023, air tercemar terawat dari loji Fukushima dilepaskan ke Lautan Pasifik.

Jepun bagaimanapun meyakinkan bahawa operasi tersebut selamat dengan disokong oleh agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

China menyifatkan perkara itu sebagai mementingkan diri sebelum mengharamkan import makanan laut dari Jepun.

Terdahulu, gempa bumi besar dan tsunami pada tahun 2011 menyebabkan tiga reaktor di loji Fukushima-Daiichi musnah. Kejadian itu turut mengorbankan kira-kira 18,000 orang.

Sejak itu, pengendali loji Tokyo Electric Power Company (TEPCO) mengumpul air yang tercemar untuk menyejukkan reaktor yang rosak dan digunakan serentak bersama air bawah tanah dan air hujan.

Anda Mungkin Berminat