Rafizi jelaskan idea cetak wang Ahmad Fayshal tidak membantu

PETALING JAYA: Pernah satu cadangan yang dikemukakan suatu masa dahulu oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal tentang idea mencetak wang dan diberikan kepada golongan miskin.

Dalam satu video berdurasi 2 minit 34 saat di Facebook, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menyindir sebuah komen yang mana meminta kerajaan memberikan RM1 juta kepada rakyat Malaysia.

Cadangan individu tersebut seakan sama seperti Wan Ahmad Fayshal yang juga melontarkan ‘teori cetak duit’ dan pengampunan hutang bagi mengatasi isu ekonomi.

Rafizi berkata, sekali pun perkara berkenaan berlaku ianya tidak akan membantu menaikkan ekonomi negara.

“Jumlah wang yang diperlukan untuk 8 juta isi rumah adalah sebanyak RM8 trilion.

“Kalau kita cetak wang, inflasi naik mendadak, dan nilai ringgit jatuh mendadak, nanti jadi seperti wang pokok pisang zaman Jepun,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi menjelaskan sekiranya kerajaan meminjam wang untuk diberikan RM1 juta kepada rakyat, jumlah hutang negara akan mencecah 500 peratus daripada saiz ekonomi.

“Mustahil ada peminjam yang akan meminjamkan begitu banyak wang kepada Malaysia.

“Kalau ada yang sanggup membeli bon kerajaan untuk mengumpul dana RM8 trilion itu, mereka akan kenakan kupon faedah yang tinggi mungkin cecah 20 peratus,” katanya.

Rafizi juga memaklumkan setakat ini kerajaan telah pun membayar RM1 trilion sebagai faedah sahaja sedangkan pendapatan kerajaan tidak mencecah dan hanya RM400 bilion sahaja.

Mengulas lanjut, katanya, jika semua rakyat peroleh RM1 juta, siapa yang akan bekerja? dan semua perniagaan akan tutup kerana rakyat telah pun menjadi jutawan.

“Bunyinya memang cantik, tidak semestinya ia boleh dilaksanakan,” jelas Rafizi.

Baca juga: