Dua lelaki maut tersepit selepas rempuh treler

Oleh: Kamilia Ali

LUMUT: Dua lelaki maut dalam nahas kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan dan lori treler di Kilometer 202, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke Selatan, di sini, Perak pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa iaitu Razali Sahad, 48, dan Muhammad Alizzat Narayi, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.33 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya kami di tempat kejadian, terdapat dua mangsa lelaki yang merupakan pemandu dan penumpang lori lima tan telah tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kemalangan tersebut berlaku apabila sebuah lori lima tan itu dipercayai membawa barang-barang pejabat telah melanggar bahagian belakang sebuah lori treler.

Walaubagaimanapun, pasukan bomba telah mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk menyerahkan mangsa kepada petugas KKM bagi tujuan pemeriksaan sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.05 pagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat