Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dianggap penanda aras penting untuk menentukan masa depan politik negara, terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang akan datang.
Menurut Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Liew Chin Tong, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah kunci kepada kestabilan politik serta lonjakan ekonomi negara.
Liew menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan selepas PRU15 berjaya mentadbir negara dengan baik selama 22 bulan.
“Kerajaan Perpaduan mentadbir bersama, menang dan kalah pilihan raya bersama, dan kita mahu bersama-sama membina negara demi generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Johor dengan 26 kerusi Dewan Rakyat, dianggap sebagai medan penting dalam menghadapi PRU16.
Liew menegaskan bahawa PH dan BN di Johor menguasai 24 daripada 26 kerusi, menjadikannya asas kekuatan politik di peringkat Persekutuan.
“Gabungan PH dan BN di Johor adalah asas kekuatan kuasa politik Persekutuan,” tambahnya.
Untuk mencapai kemenangan pada PRU16, Liew mengingatkan bahawa usaha perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan pertandingan satu lawan satu di setiap kerusi.
“Kita perlu memastikan PH dan BN dapat mengekalkan kerjasama untuk terus sama-sama memenangi pilihan raya dan mentadbir bersama,” ujarnya.
Oleh itu, PRK DUN Mahkota dilihat sebagai aspek penting untuk melihat sejauh mana keserasian gabungan PH-BN dalam menghadapi cabaran politik masa depan.