Tiga beradik tambah pingat untuk Sarawak

KUCHING: Atlet para renang Sarawak, Donny Jaranding, 44, berjaya meraih pingat emas pada Para Sukan Malaysia Ke-21 (Para SUKMA XXI) yang bertempat di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Lebih istimewa lagi apabila dua adik-beradiknya iaitu Stanley, 40 dan Julius, 38, turut sama mengutip pingat perak dan gangsa dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki S12.

Donny yang membuat penampilan terakhirnya dalam Para Sukma XXI itu berasa bangga dengan pencapaian dirinya yang memperoleh emas dalam acara acara 100m gaya bebas lelaki S13.

“Ini adalah kejohanan terakhir saya. Terima kasih kepada jurulatih, ahli keluarga dan rakan yang memberi sokongan kepada kami tiga beradik selama ini.

“Saya tidak menjangka mampu meraih emas. Kami adik-beradik akan terus buat yang terbaik untuk Sarawak,” kata Donny, memetik laporan Dayak Daily.

Pada Ahad lalu, majlis pembukaan rasmi temasya Para SUKMA telah berlangsung di Stadium Perpaduan, di sini dengan meriah.

Seramai 3,000 hadirin, termasuk barisan atlet dari 15 negeri yang terlibat dengan 10 jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam temasya tersebut iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, angkat berat, memanah, dan catur yang membabitkan 328 acara sehingga 28 September ini.

Baca juga: