Ajar Mengaji, Dakwah Dalam Penjara – Da’i Syed

Oleh: Hanim Nadia

SHAH ALAM: Dikenakan hukuman penjara merupakan pengalaman pahit dan gelap dalam hidup, kata pendakwah bebas, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful.

Dia berkongsi pengalaman yang menjadi sejarah pertama buat dirinya kepada pemberita ketika menghadiri prosiding permohonan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa.

“Masuk penjarakan, jadi pengalaman yang begitu pahit… gelap hidup saya pada saat itu.

“Tapi alhamdulillah kesihatan saya di dalam penjara baik-baik sahaja,” katanya.

Syed juga mengatakan layanan yang diberikan baik dan dia dapat berdakwah ketika berada dalam penjara.

“Layanan semua baik, saya dapat berdakwah dalam penjara … ajar orang mengaji, sambut Maulidur Rasul dalam penjara.

“Kenalkan kepada banduan tentang nabi, rasul… Jadi ada kesempatan dalam penjara itu untuk memberi sedikit manfaat dan juga ilmu,” ujarnya lagi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan tarikh 5 November untuk pengurusan kes sementara menunggu alasan penghakiman daripada Mahkamah Seksyen dalam kes membabitkan Syed.

Jumaat lalu, Syed diberikan penangguhan pelaksanaan dan dilepaskan dengan jaminan RM35,000 serta dua penjamin selepas 21 hari dipenjara sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, Syed dilepaskan bermula Jumaat lalu sehingga pelupusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Anda Mungkin Berminat