Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri yang menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memohon semakan terhadap kes liwat adalah amalan politik dangkal.
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ashraf Hadi mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan itu berkata, PAS masih menggunakan fitnah lama yang keji dan jijik untuk kelangsungan politik mereka.
“Sebagai sayap parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, pemimpin Pemuda PAS sepatutnya lebih bijak dan berakhlak dalam setiap tindakan dan kenyataan mereka.
“Malangnya, tindakan pemimpin Pemuda PAS yang cuba membangkitkan fitnah lama ini jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menekankan kepentingan keadilan, menjaga maruah dan kemuliaan akhlak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Hafez Sabri menggesa agar Anwar memohon semakan terhadap kes liwat yang pernah dihadapinya.
Ia susulan ucapan Anwar pada Jumaat lalu pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat, Suara Keramat, di mana presiden PKR itu menyatakan dirinya sebagai “banduan terhormat” yang berdepan dengan “tuduhan yang zalim dan keji”.
Malah, ujar Ashraf, lebih mengecewakan, sikap pemimpin Pemuda PAS ketika ini tidak mencerminkan kepimpinan seperti mantan Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor yang menentang sekeras-kerasnya politik fitnah ini.
Tambahnya lagi, Allahyarham juga tidak pernah menjadikan serangan peribadi sebagai modal politik.
Justeru itu, AMK menyeru kepada pemimpin Pemuda PAS untuk kembali kepada nilai-nilai Islam yang sebenar dengan berpolitik secara berakhlak dan menjauhi fitnah yang tidak memberi manfaat kepada umat dan negara.
“Tindakan menggunakan fitnah lama yang keji dan jijik hanya menzahirkan kejahilan dan mempersendakan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan, menjaga maruah dan kebaikan dalam setiap perbuatan,” katanya.