Zii Jia Turun Dua Anak Tangga, Kini Ranking Kelima Dunia

Oleh: Hanim Nadia

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia jatuh ke tangga kelima dunia selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan Terbuka China.

Menerusi kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia yang sebelum ini menghuni tangga ketiga dipintas pemain Denmark, Anders Antonsen dan pemain Jepun, Kodai Naraoka.

Pada aksi di Changzhou minggu lalu, Zii Jia dipalit kekalahan memalukan di tangan pemain Jepun, Koki Watanabe 15-21, 2-21.

Kedudukan terkini menyaksikan pemain China, Shi Yuqi kekal sebagai pemain nombor satu dunia, diikuti pemain Denmark, Viktor Axelsen di tangga kedua dan Anders Antonsen (ketiga).