Oleh: Haikal Tajuddin
BEIRUT: Seramai 569 orang Lubnan dilaporkan maut akibat serangan bom yang dibuat oleh pihak Israel, hari ini.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan, 50 orang daripadanya adalah golongan kanak-kanak.
“Berpuluh-puluh ribu orang pada ketika itu melarikan diri dari selatan Lubnan tanpa mengetahui tempat itu selamat atau tidak daripada serangan Israel.
“Namun, pengeboman yang kuat di seluruh Lubnan menyebabkan 569 orang telah maut, termasuk 50 daripadanya terdiri daripada kanak-kanak,” jelasnya, memetik Al-Jazeera.
Dalam kenyataan sama, beberapa jam setelah pemimpin tentera Lubnan, Ibrahim Muhammad Qubaisi, dibunuh, dipercayai seorang lagi komander tertinggi bersama enam orang di bawahnya juga terkorban sewaktu peperangan.
Dalam pada itu, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, membuat tuduhan terhadap tindakan tentera Israel yang membuat pembunuhan beramai-ramai di Gaza sehingga pencerobohan itu dikutuk oleh pemimpin dunia sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Kini di Gaza, seramai 41,467 orang sudah terbunuh dan 95,921 mengalami kecederaan sewaktu perang Israel di Gaza.
“Namun di Israel, jumlah yang terbunuh dalam serangan Hamas pula ada seramai 1,139 orang sahaja manakala 200 orang pula ditawan sejak 7 Oktober lalu,” jelasnya.