Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak, Chiew Choon Man membidas cadangan pilihan raya awal yang dicadangkan Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris.
Chiew berkata cadangan tersebut adalah pembaziran dana awam secara tidak bertanggungjawab dan tidak diperlukan pada ketika ini.
“Kami menggesa Bersatu untuk berhenti dengan politik yang tidak berkesudahan dan mengutamakan rakyat terlebih dahulu.
“Politik tidak sepatutnya mengenai keuntungan peribadi atau parti dan sepatutnya lebih mementingkan perkhidmatan kepada negara dan meningkatkan kehidupan rakyat.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan contoh yang jelas untuk memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dan mengutamakan negara dah sudah tiba masanya untuk semua parti politik melakukan perkara sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahli Parlimen Miri itu turut berkata, di bawah kepimpinan Anwar yang mantap dan berwawasan, ada tanda-tanda pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang jelas dari segi inflasi terkawal, pelaburan tempatan dan asing mengalir masuk, pasaran saham negara menunjukkan daya tahan dan ringgit yang stabil.
“Ini adalah petunjuk kukuh bahawa dasar kerajaan berfungsi dengan berkesan dan kami menyaksikan hasil tadbir urus yang kukuh serta menumpukan manfaat kemajuan ekonomi ini mencapai setiap sudut negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Chiew menyatakan bahawa rakyat Malaysia harus berbangga dengan hala tuju negara sekarang.
“Tiada kepentingan untuk pilihan raya awal dilaksanakan apabila negara sedang bergerak ke arah yang betul, terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.