Pembangkang ‘Candu’ Bubar Parlimen – AMK

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Cadangan Ketua Penerangan BERSATU, Razali Idris untuk membubarkan Parlimen dengan segera menunjukkan bahawa pembangkang kini semakin ketandusan idea-idea yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Malah, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Hilmi berkata, ketagihan pembangkang untuk menukar kerajaan secara kerap boleh merosakkan kestabilan negara.

“Tiada justifikasi yang kukuh untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secara terburu-buru yang hanya akan membazirkan masa dan sumber negara.

“Pembangkang harus sedar bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk tempoh lima tahun.

“Dalam tempoh tersebut sekiranya prestasi kerajaan didapati tidak memuaskan hati, maka rakyat berhak memberi mandat kepada gabungan yang lain dalam PRU16,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, dalam tempoh hampir dua tahun pentadbiran, pelbagai reformasi ekonomi telah dilaksanakan kerajaan seperti penstrukturan semula subsidi, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Industri Baru 2030.

Ujarnya lagi, hasilnya membuatkan keyakinan pelabur telah pulih, nilai ringgit mengukuh dan kadar pertumbuhan ekonomi negara melebihi jangkaan.

Dalam pada itu, Nabil berkata, pembangkang juga menolak kestabilan apabila tidak memberi kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) sewaktu menjadi pembangkang yang mana sudi mengadakan MoU dengan kerajaan demi kestabilan negara.

“Anwar Ibrahim turut sudi memberi pandangan alternatif akan pelbagai isu berkaitan ekonomi dan tata kelola negara,” katanya.