PRK Mahkota: Syed Hussien diyakini mampu tarik pengundi pelbagai kaum

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO Johor, Azleen Ambros, yakin calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah mampu meraih hati pengundi daripada pelbagai bangsa sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di Mahkota Sabtu ini.

Beliau berkata, Syed Hussien memiliki kepakaran untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa terutama dalam Mandarin dan ini akan dapat menyakinkan pengundi berbangsa Cina.

“Sebagai sebuah kawasan bercampur, pendekatan, kaedah dan mesej kita haruslah sederhana dan progresif kepada pengundi.

“Jika hendak membangunkan Mahkota, syarat utamanya adalah mesti mendapatkan sokongan daripada semua kaum.

“Dengan pakej lengkap yang ada pada calon Saudara Syed Hussein iaitu fasih dalam bahasa Mandarin dan sebagainya, tentulah mesej itu lebih mudah untuk kita sampaikan kepada pengundi di Mahkota,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.

Apabila ditanya tentang suasana sepanjang dua minggu berkempen, Azlee memberitahu semua berjalan dalam suasana harmoni daripada calon dan juga penyokong parti.

“Sebagai pengurus kempen calon BN, saudara Syed Hussien, saya amat berpuas hati dengan perjalanan kempen setakat ini.

“Yang mana, dalam tempoh berkempen, beliau memanfaatkan sepenuhnya untuk berjumpa, mendekati dan merayu undi dengan seberapa ramai pengundi Mahkota yang boleh melalui pelbagai program dan pendekatan,” ujarnya.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada Ogos lalu.

Ia menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Anda Mungkin Berminat