Rangka Bayi Ditemui Di Rawang Bypass

Oleh: Hanim Nadia

RAWANG: Satu rangka manusia dipercayai bayi ditemukan di kawasan Lebuhraya Rawang Bypass di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, penemuan rangka itu hasil maklumat daripada seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang terhidu bau busuk ketika mencari barangan lama di kawasan berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.

“Tiada barangan seperti dokumen pengenalan diri atau telefon bimbit ditemukan bersama rangka itu.

“Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan pelaku boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Mohd Asri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223 atau tampil ke balai polis berhampiran.