KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan belum menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri daripada mana-mana pihak, termasuk pembangkang.
Dalam sidang media pada Rabu, Johari menjelaskan bahawa hanya khabar angin mengenai usul tersebut yang didengarnya, namun setakat ini, tiada sebarang usul rasmi diterima.
“Setakat ini hanya cakap-cakap. Tapi tidak ada apa-apa dalam bentuk hitam putih.
“Jadi seperti biasa, mana-mana usul kena ada hitam putih, tidak boleh emel, kena hantar kepada saya,” katanya, memetik Berita Harian pada Rabu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mencabar pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Parlimen yang akan bermula 14 Oktober depan.
Cabaran itu dibuat selepas pimpinan PAS mendesak Anwar meletak jawatan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Temerloh baru-baru ini.
Ini bukan kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional (PN) untuk membawa usul tersebut, dengan cabaran serupa pernah dibuat pada 11 Januari dan 6 Mei tahun lalu.
Mengulas mengenai kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat, Johari mengesahkan bahawa mereka masih kekal dalam blok pembangkang.
Menurutnya, keenam-enam Ahli Parlimen tersebut menyatakan bahawa mereka masih mewakili PN dan tidak memohon untuk menyertai blok kerajaan atau menjadi ahli bebas. Kerusi mereka dikekalkan di bahagian belakang blok E di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen yang terlibat adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).