GISBH: JAIS siasat 612 individu – Exco Selangor

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seramai 612 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB Holdings disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mendapat kerjasama penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, perkara itu dimaklumkan JAIS menerusi satu taklimat kepadanya berhubung tindakan terkini terhadap GISBH.

“Beberapa keputusan dibuat oleh jawatankuasa dan JAIS juga mendapat kerjasama penuh PDRM untuk JAIS menyiasat 612 individu di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Terdapat 386 individu diklasifikasikan sebagai mangsa yang diselamatkan akan ditemubual, 184 individu sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) akan disiasat untuk tujuan pendakwaan, manakala baki 42 lagi masih menunggu klasifikasi pihak PDRM.

“Sehingga petang tadi, lebih 100 OYDS ditahan JAIS untuk disiasat dan dirakam percakapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohammad Fahmi berkata, semua individu itu akan disiasat mengikut Seksyen 7,8,10,12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 106 dan 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

Selain itu, katanya, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 40 dan 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Tambahnya, JAIS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad untuk mewujudkan satu pasukan yang akan memberi perhatian dan mengambil tindakan khusus pada hari PDRM melaksanakan Ops Global 11 September lalu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga melantik lapan Pegawai Penyiasat (IO) Khas untuk meneruskan siasatan beberapa kes penting membabitkan individu berprofil tinggi dalam GISBH.

“Tangkapan PDRM terhadap individu ini dijangka akan membolehkan JAIS mengemukakan kes ke Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mewujudkan satu mekanisme yang mudah dan cepat berikutan tindakan GISBH memungut wang atau sumbangan untuk kepentingan dan kumpulannya menerusi rumah-rumah amal mereka.

Katanya, mekanisme ini bagi membolehkan orang awam menyemak kebenaran memungut wang atau sumbangan dari mana-mana pihak bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut hukum syarak.

“Ini akan memastikan sumbangan umat Islam yang berniat baik dan ikhlas tidak disalah guna oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati dan agama,” katanya.

Anda Mungkin Berminat