NRES arah METMalaysia kaji semula SOP Amaran Cuaca

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) untuk mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) penyebaran maklumat atau amaran cuaca supaya ianya dapat dikeluarkan dengan lebih kerap.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengambil maklum bahawa jabatan itu tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang telah dikeluarkan lima hari terdahulu masih lagi efektif.

“Kebelakangan ini kejadian ribut dan hujan mengakibatkan banyak kes pokok tumbang, kejadian banjir dan kemusnahan harta orang awam terutamanya di kawasan utara negara.

“Saya telah mengarahkan METMalaysia untuk kaji semula SOP Penyediaan dan Penyebaran Maklumat atau Nasihat atau Amaran Cuaca supaya ia lebih kerap dikeluarkan apabila cuaca dijangka menjadi lebih ekstrem dan melampau,” katanya menerusi kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Khamis.

Beliau berkata, MetMalaysia perlu menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih efektif.

“Ini bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Fasa Peralihan Monsun telah bermula minggu ini dan akan berterusan sehingga awal November 2024.

“Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei 2024,” jelasnya.

Nik Nazmi menasihati orang ramai agar lebih berwaspada ketika tempoh berkenaan dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia menerusi laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

Selain itu, sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Jabatan di talian 1-300-22-1638.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat