PETALING JAYA: Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan menyifatkan tindakan penduduk merobohkan Pejabat Penghulu di Mukim Beta Hulu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor mendedahkan apa yang disorok kini terbongkar.
Hazmi atau lebih dikenali sebagai Jeming mendakwa peristiwa ini menunjukkan seolah-olah pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (Pas) tidak mampu menjaga rakyat sehingga mengundang pemberontakan.
Beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, mendakwa isu ketidakadilan pemimpin Pas sering berlaku, namun disorokkan dan apa yang berlaku sebenarnya adalah penyokong parti itu sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas di bawah DUN Salor.
“Perkara ini berlaku bukan kerana masalah pemimpin dan rakyat, malah penyokong Pas sendiri yang memberontak dengan pemimpin mereka.
“Sebelum ini, rakyat tidak boleh bersuara kerana tidak didengari oleh pemimpin dan ini sudah sampai ke tahap kemuncak sehingga ahli Pas sendiri tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas yang melantik ‘kroni’ serta menyusahkan rakyat sehingga penyokong mereka sendiri tidak tahan,” jelasnya.
Dakwanya lagi, sifat pemimpin Pas yang diibaratkan seperti penyakit melantik ‘kroni’ atau kenalan pemimpin itu sudah melampaui batas.
“Masalah di Kelantan ini, mereka melantik atau memilih wakil rakyat yang berlatar belakangkan seseorang yang belajar di Mesir, mempunyai ilmu agama yang tinggi seperti Ustaz mahupun orang kenalan rapat pemimpin Pas dan tindakan itu tidak adil sama sekali.
“Pelantikan orang yang kurang pengalaman dan tidak berpengetahuan untuk menjadi pemimpin setempat boleh memakan diri.
“Selain mewakili rakyat untuk mengetengahkan undang-undang kecil di Dewan Rakyat dan sebagainya, mereka sepatutnya lebih menjaga rakyat. Untuk menjaga ahli sendiri tidak mampu, bagaimana mahu menjaga rakyat?” soalnya.
Oleh itu, perkara ini menunjukkan bahawa pemimpin Pas mengenepikan rakyat sekali gus boleh melemahkan pentadbiran negeri Kelantan.
Terdahulu, tular satu video di facebook, menggunakan nama Wan Azlan, dalam video tersebut kelihatan seorang lelaki yang mendakwa penduduk tempatan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap ADUN Salor dan kepimpinan kerajaan negeri Kelantan kerana tidak mempedulikan masalah yang dibangkitkan penduduk.
Dakwanya juga, akibat masalah yang dibangkitkan tidak selesai menyebabkan Penghulu turut meletak jawatan dan kelihatan jentera berat merobohkan Balai Penghulu seperti yang didakwa.
Video tersebut bagaimanapun tidak menjelaskan isu yang menyebabkan penduduk tidak berpuas hati dan bertindak sedemikian.
DUN Salor kini diwakili Saiful Adli Abu Bakar daripada parti Pas.
Baca juga: