PRK DUN Mahkota: Melayu jadi penentu jika pengundi Cina tidak keluar – Penganalisis

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pengundi Melayu dilihat sebagai penentu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sekiranya pengundi Cina memilih untuk tidak keluar mengundi, kata Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Menurut beliau, pertarungan sebenar perebutan kerusi DUN Mahkota akan tertumpu pada segmen pengundi Melayu yang berjumlah 37,413 orang atau mewakili 56 peratus pengundi keseluruhan.

Yusri turut mengakui isu yang melibatkan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkaitan sijil halal ternyata menjadi faktor penghalang bagi masyarakat Cina untuk tidak keluar mengundi.

Tambahnya, terdapat masyarakat Cina yang menyuarakan kebimbangan sekiranya Ketua Pemuda (KP) UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dipilih menjadi menteri Kerajaan Persekutuan selepas ini.

“Dua hari kempen berbaki, pengundi etnik Cina masih tidak ghairah untuk keluar mengundi Sabtu ini.

“Mereka kecewa terhadap serangan KP UMNO (Akmal Saleh) terhadap Teresa berkaitan isu sijil halal.

“Bahkan mereka turut menyuarakan kembimbangan jika Akmal bakal menjadi menteri Kerajaan Persekutuan selepas ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Tambah Yusri, masyarakat Cina di Mahkota juga turut melihat PRK kali ini merupakan satu perkara yang tidak memberi sebarang impak kepada kedudukan kerajaan negeri atau persekutuan walaupun sudah beralih tangan.

Katanya, sehingga kini, DAP sendiri pun tidak berupaya sepenuhnya memujuk pengundi Cina untuk keluar mengundi.

Sebelum ini, Teresa Kok menyatakan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Akmal Saleh yang dikatakan ingin mahu menampal logo tidak halal pada dahinya.

Hal ini kerana, Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukannya dilaksanakan secara paksa.

Anda Mungkin Berminat