Hidup susah bukan penghalang capai cita-cita – Dr Wan Azizah

BANDAR TUN RAZAK: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan pelajar supaya tidak menjadikan kesusahan keluarga sebagai penghalang untuk mencapai cita-cita.

Berucap semasa merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Khamis berkata, dalam era serba mencabar terutama kos sara hidup yang agak tinggi, pendidikan merupakan satu jalan penting bagi mengubah nasib dan membantu keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

Justeru kesusahan dilalui wajar dijadikan pembakar semangat mencipta kejayaan bagi kehidupan lebih baik pada masa hadapan

“Tanpa pendidikan yang sempurna, mungkin agak sukar untuk anak-anak ini membina masa depan lebih baik, mungkin tidak mudah untuk mencari arah terutama pekerjaan yang lebih baik dan membantu keluarga yang rata-rata golongan kurang berkemampuan ataupun miskin bandar,“ katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Mengenai Bantuan Awal Pengajian itu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, ia adalah inisiatif Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan pejabat parlimennya untuk membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Membabitkan 200 pelajar, setiap mereka menerima RM500 daripada dana RM100,000 disalurkan.

“Saya berharap bantuan yang disumbangkan ini dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan pelajaran anak-anak semua ke peringkat lebih tinggi dan manfaatkan peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya sambil berharap lebih banyak yayasan atau syarikat korporat tampil memberi sumbangan.