Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menyediakan beberapa inisiatif dan moratorium khas kepada usahawan yang terkesan akibat bencana banjir.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KUSKOP, hari ini, moratorium itu akan dilaksanakan menerusi beberapa agensi di bawahnya yang amat prihatin terhadap usahawan terjejas.
“Antara agensi yang terlibat adalah TEKUN Nasional (TEKUN) yang mana agensi ini akan menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada usahawan yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pembiayaan akibat banjir.
“Selain itu, usahawan TEKUN yang terlibat juga akan dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan mereka dan boleh membuat penjadualan semula pembiayaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, KUSKOP turut berkata, usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, boleh memohon pembiayaan bertindih (overlapping) sebelum memulakan semula perniagaan.
“Sehingga kini, seramai 98 orang usahawan TEKUN di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dikenalpasti terjejas akibat bencana banjir dengan anggaran kerugian RM383,000.
“Oleh itu, usahawan TEKUN menyediakan permohonan pembiayaan bertindih (overlapping) bagi memudahkan urusan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menawarkan penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan untuk tempoh enam bulan sepanjang tempoh pembiayaan.
“Antara produk yang ditawarkan menerusi kemudahan ini adalah pembiayaan Peribadi-i, pembiayaan Perumahan-i, pembiayaan Kenderaan-i, sewa beli Kenderaan-i, Pajak Gadai-i, pembiayaan Pendidikan-i, dan Pembiayaan Mikro-i,” jelasnya.
Tambahnya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menyampaikan sumbangan menerusi penawaran bantuan banjir moratorium dan sumbangan bernilai RM40,000 yang bakal diberikan dalam tempoh terdekat.
“Sekiranya ingin mendapat maklumat lanjut mengenai inisiatif banjir yang ditawarkan, boleh terus menghubungi pejabat cawangan agensi-agensi di bawah KUSKOP,” ujarnya.