PRK DUN Mahkota: Syed Hussein Tiada Rekod Jenayah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah disahkan tidak mempunyai rekod sabitan jenayah di bawah kesalahan boleh daftar dalam konteks Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan yang dijalankan bersabit kes yang didakwa melibatkan Syed Hussein itu telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan supaya tiada tindakan lanjut (no further action).

Malah, jelas beliau, tiada mana-mana pihak yang dituduh dalam kes berkenaan termasuk Syed Hussein.

“Polis menasihatkan parti politik agar berkempen secara sihat dan tidak mengeksploitasi isu agama, raja dan kaum atau membuat kenyataan palsu terhadap individu lain.

“Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mudah percaya kenyataan palsu tanpa ditentu sahkan kesahihannya terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Bahrin, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran kepada awam.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau juga dikenali sebagai Che’gu Bard mendakwa Syed Hussein mempunyai rekod jenayah berkait kes gaduh dan mencederakan sekali gus menggesa calon BN berkenaan membuat penjelasan.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perikatan Nasional (PN) ketandusan isu untuk bekempen pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan memainkan isu calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah mempunyai rekod jenayah.

Malah, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan pembangkang terdesak dengan menyentuh isu-isu peribadi Syed Hussein semata-mata untuk menghakis keyakinan pengundi.

Tegasnya, beliau sendiri sudah menyemak dan memeriksa latar belakang Syed Hussein sebelum dipilih sebagai calon BN pada PRK itu dan mendapati beliau tidak mempunyai rekod jenayah.

Jelas Ahmad Zahid, apa yang cuba dibangkitkan pembangkang itu adalah kejadian ketika Syed Hussein cuba membela seorang warga orang kurang upaya (OKU) buta yang diganggu dan dipukul oleh sekumpulan individu ketika beliau berumur 20-an.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan tindakan pembangkang memainkan isu peribadi Syed Hussein disebabkan calon mereka tidak mendapat sambutan daripada pengundi DUN Mahkota dan cuba mengganggu calon BN.