Tidak logik jadikan pemimpin kontroversi sebagai teladan – AMK

KUANTAN: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Chan Chun Kuang, menolak sebarang cubaan untuk menjadikan seseorang pemimpin kontroversi sebagai teladan kepada pemimpin kerajaan.

Beliau memberikan respon berkenaan bagi menjawab saranan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu yang mencadangkan agar pemimpin-pemimpin kerajaan meneladani Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut Chun Kuang, saranan tersebut tidak berasas kerana Sanusi hanya memohon maaf setahun selepas kontroversi berlaku dan setelah dikenakan tindakan undang-undang.

“Tindakan memohon maaf selepas setahun bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan teladan, apatah lagi contoh untuk diangkat kepada pemimpin lain,” ujarnya.

Chun Kuang menegaskan bahawa seseorang pemimpin seharusnya menunjukkan integriti dan tanggungjawab moral yang tinggi dalam setiap tindakan mereka.

Meskipun beliau menghargai tindakan Sanusi yang akhirnya memohon maaf, Chun Kuang mempersoalkan sejauh mana keikhlasan dan keseriusan permohonan maaf tersebut memandangkan tempoh masa yang terlalu lama diambil.

Selain itu, Chun Kuang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu turut mengingatkan tentang tanggungjawab pemimpin untuk berhati-hati dalam setiap tindakan dan ucapan, khususnya yang melibatkan institusi diraja.

“Permohonan maaf yang tulus dan bertanggungjawab adalah penting, tetapi yang lebih penting adalah langkah proaktif untuk memastikan insiden sebegini tidak berulang,” katanya.

Beliau juga menyeru agar politik perkauman, kebencian dan penghinaan dihentikan selain menggalakkan politik yang berasaskan prinsip dan nilai integriti.

“Negara memerlukan politik yang mampu menyatukan semua kaum, bukan politik yang memecah belahkan,” tegasnya.

Chun Kuang turut menjunjung kasih terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menyeru agar pemimpin menjaga tutur kata dan mengelak tindakan yang memecahbelahkan masyarakat.

“Tuanku mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga adab dalam hubungan pemimpin dan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu Chun Kuang menyeru agar semua pihak untuk menghormati institusi raja, mengamalkan politik matang, serta terus memupuk perpaduan negara.

“Kita perlu ke hadapan dengan politik yang mementingkan pembangunan dan kemajuan, bukan politik yang merosakkan,” katanya.