BN Pertahan DUN Mahkota, Majoriti Undi 20,648

Oleh: Hanim Nadia

KLUANG: Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, diumumkan secara rasmi menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu.

Syed Hussein menang dengan majoriti 20,648 undi dengan memperolehi 27,995 undi.

Sementera itu, pencabar Syed Hussien, calon BERSATU Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang mewakili Perikatan Nasional (PN) mendapat 7,347 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Mahkota, Azurawati Wahid di pusat penjumlahan undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pada pukul 9.10 malam tadi.

Secara keseluruhan terdapat 66,318 pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota dengan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta polis telah berlangsung pada Selasa, melibatkan 4,437 pengundi.

Peratusan keluar mengundi adalah 53.84 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mengeluarkan kertas 607 undi pos pada 15 September dan melantik 1,126 petugas bagi mengendalikan proses PRK itu.

PRK Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022 menyaksikan Sharifah Azizah yang mewakili BN, menang dengan majoriti 5,166 undi pada pertembungan empat penjuru melibatkan Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN.