PRK DUN Mahkota: Kemenangan BN Isyarat Rakyat Terima Kerajaan Perpaduan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menjadi isyarat bahawa rakyat menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Johor di bawah Barisan Nasional (BN) yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rakyat di Mahkota juga mahukan kesinambungan kepimpinan yang telah dimulakan oleh Allahyarhamah penyandang terdahulu, Sharifah Azizah Syed Zain.

“Kemenangan ini menunjukkan bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada BN untuk terus memimpin dan meneruskan segala usaha baik yang telah dirancang sebelum ini.

“Rakyat menghargai usaha dan sinergi Kerajaan Perpaduan yang dipimpin dengan penuh kebijaksanaan dan dedikasi untuk memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang menzahirkan ucapan tahniah kepada Syed Hussien dan merakam penghargaan kepada pimpinan serta seluruh jentera yang membantu.

“Saya yakin dan percaya bahawa Syed Hussien akan menjalankan tugas dan tanggung jawab kepada rakyat Mahkota dengan cemerlang dan penuh dedikasi.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di atas kejayaan ini serta seluruh jentera BN dan Kerajaan Perpaduan yang sangat komited dalam memastikan kemenangan ini.

“Terima kasih kepada pengundi Mahkota kerana telah memberi sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada BN. Amanah ini akan kami junjung dan diterjemahkan kepada khidmat bakti yang terbaik untuk rakyat Mahkota,” katanya.

Syed Hussein menang dengan majoriti 20,648 undi dengan memperolehi 27,995 undi.

Sementera itu, pencabar Syed Hussien, calon BERSATU Mohamad Haizan Jaafar, 61, yang mewakili Perikatan Nasional (PN) hanya mendapat 7,347 undi.