KLUANG: Pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka hari ini (Sabtu) selepas tamatnya 14 hari tempoh berkempen.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar dengan kedua-duanya juga akan menunaikan kewajipan pada PRK itu.
Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 61,397 pengundi layak mengundi di 20 pusat melibatkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada 8 pagi hingga 6 petang.
Selasa lalu, sebanyak 95.45 peratus anggota tentera dan pasangan serta polis menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi PRK DUN Mahkota.
Proses pengundian awal berlangsung di tiga pusat mengundi iaitu Dewan Mahkota di Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, proses pengundian awal PRK itu melibatkan 4,437 pengundi.
Pada PRK kali ini, sebanyak 1,126 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK itu, selain SPR juga menubuhkan satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang pada pagi ini adalah baik, namun ribut petir dijangka melanda pada sebelah petang dengan suhu antara 23 hingga 33 darjah Celcius.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Allahyarham yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.
PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).